Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/19/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/19/2024 17:53

TAUFAN PULASAN MELANDA BAHAGIAN TIMUR CHINA: MAKLUMAN TERKINI DAN LANGKAH KESELAMATAN

TAUFAN PULASAN MELANDA BAHAGIAN TIMUR CHINA: MAKLUMAN TERKINI DAN

LANGKAH KESELAMATAN

Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, sedang memantau dengan teliti Taufan Pulasan yang semakin menghampiri Republik Rakyat China. Taufan ini diklasifikasikan sebagai taufan kategori 1, dan dijangka akan melanda pada sebelah tengah hari atau petang 19 September 2024 dengan kelajuan angin sehingga 153 km/j yang boleh menyebabkan hujan lebat dan kemungkinan banjir kilat. Gangguan pengangkutan dan bekalan elektrik juga dijangka akan berlaku.

Setakat jam 2 petang pada 19 September 2024, Taufan Pulasan berada di Laut China Timur. Taufan ini diramalkan akan bergerak mengikut laluan semasanya dan mungkin melanda kawasan di Timur China termasuk Shanghai, Zhejiang, Jiangsu, dan Anhui.

Rakyat Malaysia di kawasan-kawasan berkenaan dinasihatkan untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan. Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai seperti maklumat di bawah:

KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI SHANGHAI

Alamat: Unit 01, Block B, 9th Floor, Dawning Centre, No. 500,

Hongbaoshi Road, Changning District, 201103 Shanghai

No. Telefon: +86 21 6090 0360/ +86 21 6090 0371

Emel: [email protected]

PUTRAJAYA

19 September 2024