Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/19/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/20/2024 17:45

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK INDONESIA BAGI MENGHADIRI MAJLIS PELANTIKAN PRESIDEN DAN NAIB PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA 19 - 20 OKTOBER 2024

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK INDONESIA BAGI MENGHADIRI

MAJLIS PELANTIKAN PRESIDEN DAN NAIB PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA

19 - 20 OKTOBER 2024

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia pada 19 dan 20 Oktober 2024 di atas undangan Kerajaan Republik Indonesia untuk menghadiri Majlis Pelantikan Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto sebagai Presiden Republik Indonesia yang kelapan dan Tuan Yang Terutama Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden.

Majlis tersebut akan diadakan di Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada 20 Oktober 2024.

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah serta pegawai-pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

YAB Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden baharu tersebut.

TYT Prabowo Subianto mengambil alih daripada TYT Joko Widodo yang telah berkhidmat sebagai Presiden Republik Indonesia yang ketujuh selama dua penggal (2014-2019 dan 2019-2024).

Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas peranan TYT Joko Widodo dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Indonesia. Kerajaan Malaysia juga komited untuk meneruskan kesinambungan hubungan rapat di antara kedua-dua negara di bawah pentadbiran baharu TYT Prabowo Subianto.

Lawatan ini melambangkan ikatan hubungan dua hala istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.

Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ke-7 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-3 terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan mencapai USD24.39 bilion (RM111.21 bilion).

PUTRAJAYA

19 Oktober 2024