Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/21/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/21/2024 01:40

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU

PELANTIKAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA YANG BAHARU

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah mengampuni perkenan pelantikan dua (2) orang Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dalam satu Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini. Istiadat tersebut turut dihadiri YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, dan YBhg. Dato' Ahmad Rozian bin Abd. Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri.

Maklumat Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik tersebut adalah seperti berikut:

Dato' Dr. Shazelina binti Zainul Abidin

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada

Dato' Dr. Shazelina dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik dari University of Sheffield, United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1996. Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah sejak tahun 2023.

Sebelum ini, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Senegal (2018-2021) dan pernah ditugaskan di Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York dan Kedutaan Besar Malaysia di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Institut Diplomasi dah Hubungan Luar Negeri (IDFR), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam dan Setiausaha Bahagian Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Sosial. Selain itu, beliau pernah ditugaskan di Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar, Bahagian Perancangan Strategik, Bahagian Politik Pelbagai Hala dan Bahagian Eropah.

Encik Rizany Irwan Muhamad Mazlan

Bakal Duta Besar Malaysia ke Algeria

Encik Rizany Irwan merupakan anak kelahiran negeri Melaka dan merupakan graduan University of Hertfordshire, United Kingdom. Beliau dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta ditempatkan di Kementerian Luar Negeri pada tahun 2001. Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Setiausaha Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan sejak tahun 2022.

Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina. Penempatan luar negara beliau yang lain adalah sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Protokol, selain pernah ditugaskan di Jabatan Penyelarasan dan Pelaksanaan, Bahagian Kewangan, Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Hal Ehwal Wilayah dan Maritim, Bahagian Adjudikasi dan Timbang Tara serta Bahagian Amerika.

PUTRAJAYA

21 Oktober 2024