Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

09/25/2024 | Press release | Distributed by Public on 09/25/2024 04:30

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA SERANGAN UDARA ISRAEL DI LUBNAN

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA SERANGAN UDARA ISRAEL DI LUBNAN

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini, yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang. Serangan ini telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang- undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan. Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akanmeningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima. Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil.

Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam. Masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera. Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini. Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, Kementerian ini menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela. Warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil. Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT

Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan

Nombor Telefon: +96176772527, +96171380063

Emel: [email protected]

Putrajaya

25 September 2024