Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/25/2024 | Press release | Distributed by Public on 10/25/2024 01:26

MAKLUMAT TERKINI BERHUBUNG TAUFAN KRISTINE (TRAMI) DAN TAUFAN LEON

MAKLUMAT TERKINI BERHUBUNG TAUFAN KRISTINE (TRAMI) DAN TAUFAN LEON

Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila, sedang memantau situasi terkini Taufan Kristine (Taufan Trami). Taufan Kristine telah membawa hujan yang lebat yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh, serta mengakibatkan kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan keluarga.

Setakat hari ini, pergerakan angin taufan Kristine ini telah dikategorikan sebagai taufan tahap 2 dan masih aktif di sekitar kawasan Metro Manila serta di kebanyakan daerah di Luzon. Taufan tersebut dijangka akan keluar dari kawasan tanggungjawab Filipina lewat hari ini.

Terkini, terdapat satu lagi taufan yang dinamakan "Leon", kini berada 2,500 kilometer dari Visayas dan dijangka akan memasuki kawasan tanggungjawab Filipina menjelang Ahad, 27 Oktober 2024.

Malaysia menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada Kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat taufan tersebut. Kementerian ini sedang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan berhubung bantuan yang akan disalurkan kepada pihak Filipina.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dan terjejas dengan taufan tersebut. Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan. Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka adalah digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila melalui butiran di bawah:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MANILA

Alamat : Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila,

Philippines

No. Telefon : +63 2 8662 8200 / 0917 864 0761

Emel : [email protected]

PUTRAJAYA

25 Oktober 2024